Yunus bin Matta adalah seorang nabi yang di utuskan oleh Allah
s.w.t untuk berdakwah di sebuah tempat bernama Niwana. Nabi Yunus seorang
pendatang ke Niwana semata-mata atas perintah Allah s.w.t untuk berdakwah
kepada penduduknya.
Nabi Yunus mendapati penduduk Niwana merupakan manusia yang
menyekutukan Allah dengan menyembah berhala. Nabi Yunus mengajar mereka tentang
ilmu tauhid dan keimanan. Nabi Yunus juga memberi nasihat kepada mereka tentang
kebodohan mereka menyembah berhala sedangkan berhala itu adalah hasil buatan
manusia. Nabi Yunus menasihatkan mereka bahawa berhala tersebut tidak dapat
memberi apa-apa manfaat kerana berhala itu tidak boleh bergerak dan berkata-
kata. Nabi Yunus mengingatkan mereka supaya menyembah Allah s.w.t yang telah
menciptakan manusia dan Allah sajalah yang wajib ditaati.
Oleh kerana ajaran yang di bawa oleh Nabi Yunus itu ajaran baru,
maka tidak ramai manusia yang mahu menerimanya. Mereka lebih suka menyembah
berhala-berhala yang di sembah oleh datuk nenek mereka secara turun temurun.
Walaupun Nabi Yunus memberi nasihat, tetapi mereka tetap berkeras dengan
berkata "Ini adalah Tuhan kami (yakni berhala-berhala), datuk nenek kami
telah lama menyembah tuhan-tuhan kami dan kami tetap tidak akan berganjak dari
meninggalkan agama kami".
Nabi Yunus berkata "Aku hanya menyampai apa yang Allah
menyuruh aku sampaikan kepada kamu semua, oleh itu kamu beriman dan
bertauhidlah menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah s.w.t".
Berkata Nabi Yunus lagi "Aku ini hanyalah pesuruh yang mana Allah s.w.t
telah perintahkan kepadaku supaya menyelamatkan kamu semua daripada lembah
kesesatan dan lembah kegelapan serta menyiarkan kepada kamu tentang agama yang
suci bersih lagi murni dan membersihkan hati-hati kamu dari kufur dan syirik,
demi untuk kebaikan kamu di dunia dan di akhirat."
Walaupaun Nabi Yunus telah memberi nasihat serta pengajaran supaya
kembali ke pangkal jalan, mereka tetap dengan pendiriannya dan berkata "walau
apa sekalipun kamu katakan kepada kami, kami tetap tidak akan berganjak dari
agama kami dan kami juga tidak takut walau apa pun ancaman yang kamu katakan
dan kalau mahu cubalah datangkan ancaman itu kepada kami, kalau kamu memang
orang yang benar."
Setelah Nabi Yunus melihat keadaan mereka yang tidak menerima
peringatannya itu, maka Nabi Yunus pun meninggalkan Niwana dengan rasa amat
marah. Nabi Yunus berdoa kepada Allah supaya mereka yang keras kepala menerima
hukuman yang sewajarnya. Sejak Nabi Yunus meninggalkan Niwana mereka gelisah
melihatkan perubahan yang berlaku di tempat tinggal masing-masing.
Penduduk melihat Niwawa mengalami kegelapan, binatang peliharaan
mereka juga seperti tidak tenteram dan di tambah pula dengan angin yang sangat
kuat serta guruh yang mengegarkan. Dengan berlakunya perkara-perkara ini maka
tahulah mereka bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus itu adalah ajaran yang
benar dan bukan satu ajaran yang direka. Akhirnya mereka menyesal dan keluar
beramai-ramai dari kota pergi ke bukit lalu meminta ampun dan rahmat Allah
s.w.t agar dijauhkan daripada sebarang malapetaka.
Allah s.w.t Maha Mengetahui akan hambaNya yang menyesal dan mohon
ampun dariNya, maka Allah s.w.t pun menerima permintaan mereka, lalu Niwana
yang gelap bertukar menjadi cerah, binatang ternakan tidak lagi dalam ketakutan
dan mereka kembali tenang. Akhirnya mereka semua kembali dengan bersyukur
kepada Allah s.w.t yang telah menyelamatkan mereka dari bahaya malapetaka. Nabi
Yunus telah meninggalkan Niwana membawa diri tanpa tujuan.
Baginda naik bukit turun bulit, naik gunung turun gunung dan
akhirnya ia sampai di pantai. Kebetulan pada masa itu dia melihat sebuah kapal
hendak belayar, maka dia pun menghampiri pemilik kapal itu untuk turut serta
belayar bersamanya. Setelah diberi keizinan maka Nabi Yunus menumpang kapal
tersebut. Dalam pelayaran itu, kapal yang ditumpangi Nabi Yunus telah dilanda
ribut taufan yang kuat.
Oleh itu kapten kapal telah memutuskan supaya barang yang dibawa
hendaklah dikurangkan. Ini termasuk penghuni kapal kapal tersebut. Satu
pengundian telah dibuat dan dalam undian tersebut Nabi Yunus dipilih sebagai
orang yang harus dibuang ke laut. Oleh sebab Nabi Yunus adalah orang yang
sangat dihormati dan disanjung, maka mereka mengadakan pemilihan sekali lagi
dan kali kedua Nabi Yunus tetap terpilih.
Maka mereka mengundi sekali lagi dan akhirnya Nabi Yunus tahu
bahawa ia adalah kehendak Allah. Nabi Yunus memikirkan kesalahannya kerana
meninggalkan Niwana tanpa mendapat persetujuan Allah. Ia berfikir keputusan
undi itu adalah disebabkan untuk menebus dosa yang telah dilakukannya. Nabi
Yunus beristikharah, tanpa ragu-ragu Nabi Yunus terjun ke dalam laut yang
sedang bergelombang ganas.
Ketika Nabi Yunus sedang berlawan dengan gelombang, maka Allah
s.w.t mengarahkan seekor ikan nun (yu) supaya menelan Nabi Yunus hidup- hidup,
maka ikan nun yang muncul itu pun menelan Nabi Yunus dan menyimpannya dalam
perut tanpa ada cacat-celanya. Ketika Nani Yunus berada dalam perut ikan nun dia
berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosa yang telah dilakukan. Lalu Nabi
Yunus membaca doa: "Tidak ada Tuhan yang benar di sembah hanya Engkau ya
Allah, mahasuci Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku."
Maka Allah perkenankan permintaannya dan Allah lepaskan dia
daripada kedukaan. Demikianlah Allah selamatkan orang yang beriman. Rasulullah
bersabda maksudnya:
"Nama tuhan yang mulia, siapa yang berdoa dengan nama itu
akan diperkenankan doanya. Siapa yang meminta dengan nama itu, akan diberi apa
yang diucapkan oleh Nabi Yunus dalam perut ikan nun." Firman Allah
bermaksud "Jika tidak kerana dia (Nabi Yunus) daripada orang yang selalu
mengucapkan tasbih, nescaya tidaklah ia dapat keluar dari perut ikan sampai
hari kiamat."
Setelah beberapa lama Nabi Yunus berada dalam perut ikan nun, maka
Allah pun melemparkan Nabi Yunus ke darat. Di tempat Nabi Yunus dilemparkan
Allah menghidupkan pokok labu yang dapat Nabi Yunus bernaung di bawahnya dan
dapat pula ia makan buat tersebut dan kembali segar. Ketika Nabi Yunus
dilemparkan ke darat keadaannya amat letih.
Setelah Nabi Yunus berasa segar kembali maka Allah telah
memerintahkannya supaya kembali ke Niwana. Nabi Yunus terkejut kerana penduduk
sedang menanti kepulangannya. Penduduk tersebut meminta Nabi Yunus
mengajar untuk menyempurnakan akidah dan imam mereka. Nabi Yunus berasa hairan
kerana penduduk Niwana dahulunya terdiri daripada orang yang ingkar dengan
perintah Allah tetapi kini hidup dan mati mereka semata-mata kerana Allah.
0 Response to "KISAH NABI YUNUS A.S"
Post a Comment