Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di
dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab
Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat
panggilan iaitu Isa,Isa putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia
memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika
malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan
kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat
berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa
disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana
dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini,
ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah.
Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat
membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku
berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada
Tuhan)!'
Dia
(malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara
kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang
datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu
diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat
sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai
Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata
daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan
di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian
Mariam bertanya,
"Bagaimanakah
aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku,
dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat
menjawab,
"Dia
(Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku;
dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan
daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun
sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat
(tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti
Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua
adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu
menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan
dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda
dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada
yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa,
Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci.
Firman-Nya:
"Dan
rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain.
Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan
darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami
mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk
membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa
yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan
Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa,
dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami
tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami
muslim.'" (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada
hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau
anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum
agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab,
Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil.
Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda
mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya
di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka,
Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami
memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang
Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan
Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita
mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji
dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah
(9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam
hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang
diperselisihkan. Firman Allah:
"dia
(Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku
memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan;
maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul
selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai
Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat
yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan
datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut
setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai
pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang menentang.
Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka
adalah muslim. Firman Allah:
"Dan
ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan
rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman
kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi
penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;
kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'"
(3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain,
termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan
menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai
orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa
putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan
menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia
berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang
setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati
mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari
langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan
apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam,
bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari
langit?'
Dia
(Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan
daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu
berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.'"
(5:112-113)
Justeru
itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya
Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari
langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir
bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk
kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan
yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama
sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja
hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat
berikut menjelaskannya:
"Ketika
Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu,
dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci),
untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa
..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang
seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia
seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan
orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka
berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat,
manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada
Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi
dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa
tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa
telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas peristiwa
penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak diceritakan di dalam
al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri dari tempat baginda
dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi
terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila
Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan
kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak
percaya .....'" (3:55)
"Dan
aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi
setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas
mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan
bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula.
Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan
mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi
mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu
kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih
mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada
pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya,
yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak
disahkan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat
kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz: kedatangan
Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan Soalan
Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku.
Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan sistem
berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu tidak
dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan
rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan
(menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi
Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan
mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong dalam
kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah
orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia
ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang
Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada
mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka.
Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan
kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan makanan,
berbunyi:
"Al-Masih,
putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu.
Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah
bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah
bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak
makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk
mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut
seperti yang terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang
mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga
dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan
agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah
sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda
akan ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa
baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah.
Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai
Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan
ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi
Isa akan menjawab:
"Kepada
Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak
dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa
yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya
bersambung lagi:
"Aku
hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke
atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu
yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap
al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai
Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang
tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak
dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.
0 Response to "KISAH NABI ISA A.S"
Post a Comment